TIDAK cukup dengan ugutan bunuh terhadap pelakon Salman Khan, kumpulan gangster terkenal di India didakwa turut mengancam mahu melakukan tindakan serupa terhadap adik ipar kepada bintang Bollywood itu, Aayush Sharma.
Aayush yang juga pelakon itu dikatakan terpaksa mendapatkan bantuan iringan polis ketika melakukan promosi filem berjudul Ruslaan di beberapa lokasi.
Kelihatan beberapa pegawai polis mengiringi aktor terbabit dalam siri promosi yang disertainya sebagai langkah berjaga-jaga.
Bimbangkan keselamatan Aayush, Salman turut meminta bintang muda itu menggunakan kereta kalis peluru miliknya.
Ancaman terhadap Salman dipercayai dilakukan ketua kongsi gelap, Lawrence Bishnoi yang sentiasa mencari jalan mahu melenyapkan Salman gara-gara pelakon itu dibebaskan daripada kes pemburuan haram Blackbuck atau Antelop pada 1998.
Sejak itu beberapa kali Bishnoi yang berada dalam penjara mengarahkan konco-konconya mengekori langkah Salman dan kini semakin berani mengancam ahli keluarga aktor terbabit.