JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial memaparkan seorang nelayan menaikkan seekor ikan tapah gergasi di Kampung Pasir, wilayah Kalimantan Barat.
Laman berita Suara.com melaporkan, klip video itu dimuat naik dalam akaun Instagram @kotamempawah pada 20 Februari lalu.
Nelayan itu menaikkan tapah tersebut selepas keluar menjala di sebatang sungai. Dengan bantuan beberapa penduduk kampung lain, mereka bekerjasama menyiang ikan seberat 80 kilogram itu.
Bagaimanapun, nelayan itu berkata, peralatannya rosak teruk ketika menangkap ikan tersebut.
“Jala saya hancur dibuatnya,” kata nelayan tersebut.
Seorang wanita yang berada di lokasi kejadian secara spontan berkata bahawa ikan itu sedap jika dimasak asam pedas.
Hantaran itu menarik perhatian netizen di ruangan komen.
“Masak asam pedas sedap ni,” komen seorang netizen.
“Saya terliur apabila makcik cakap ingin masak asam pedas,” komen netizen lain. – AGENSI