SEMPORNA – Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menggagalkan cubaan aktiviti menyeludup keluar petrol menerusi Op Terancang semalam.
Dalam operasi pada pukul 4 pagi itu, pasukan itu mengesan sebuah bot bergerak laju dalam keadaan mencurigakan di perairan Kampung Simunul.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, sebaik menyedari kehadiran anggota PPM, juragan lelaki memecut bot tersebut untuk melarikan diri menuju ke kawasan rumah atas air dan meninggal pengangkutan air itu.
Katanya, pencarian dilakukan, namun gagal mengesan suspek sebelum pasukan operasi berpatah balik ke bot pam yang ditinggalkan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot pam itu menemui 1,425 liter petrol dan dan satu tong gas dipercayai cuba diseludup ke negara jiran. Turut dirampas, bot berserta enjin yang bernilai hampir RM49,000.
“Semua rampasan dibawa ke Pangkalan Polis Marin Semporna. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – KOSMO! ONLINE