LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menghamburkan pujian tinggi kepada barisan pemain mudanya kerana berjaya menjuarai Piala Liga Inggeris (EFL) menewaskan Chelsea 1-0 pada final di Stadium Wembley malam kelmarin.
Kejayaan itu menyaksikan Liverpool mencipta rekod sebagai pemenang terbanyak EFL sebanyak 10 kali selepas memenanginya pada 1981, 1982, 1983, 1984, 1995, 2001, 2002, 2012 dan 2022.
The Reds menurunkan enam pemain muda seperti bek kanan berusia 20 tahun, Conor Bradley, Harvey Elliott (20), Bobby Clark (19), James McConnell (19), Jayden Danns (18) dan Jarell Quansah (21), tetapi masih berjaya menewaskan Chelsea.
Ia tamparan besar buat The Blues selepas berbelanja lebih £1 bilion (RM6.05 bilion) sejak 2022, namun gagal menumbangkan Liverpool yang dihimpit masalah kecederaan.
The Reds turun tanpa bintang-bintang seperti Mohamed Salah, Trent Alexander-Arnold, Diogo Jota, Darwin Nunez, Alisson Becker dan Joel Matip sementara Ryan Gravenberch terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan.
Chelsea pula menurunkan pemain-pemain termahal mereka seperti Enzo Fernandez dan Moises Caicedo yang masing-masing bernilai lebih £100 juta (RM604.78 juta), Raheem Sterling £50 juta (RM302.39 juta), Mykhailo Mudryk £88.5 juta (RM535.23 juta) dan Christopher Nkunku £52 juta (RM314.49 juta).
Disebabkan itu, Klopp, 56, menganggap trofi kali ini amat istimewa bagi kariernya selepas meraih lapan kejuaraan sepanjang sembilan tahunnya bersama Liverpool sebelum meninggalkan Anfield penghujung musim ini.
“Inilah trofi paling indah saya pernah menang dalam tempoh lebih 20 tahun saya sebagai jurulatih. Ia amat menakjubkan dan saya begitu berbangga dengan kejayaan ini. Satu perasaan yang tidak mampu untuk menggambarkannya,” katanya.
Kini, Liverpool berpeluang memburu tiga lagi kejuaraan musim ini iaitu Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Liga Europa bagi memberikan hadiah istimewa buat Klopp dengan gelaran pemenang quadruple sebelum meninggalkan mereka musim depan.
Sementara itu, kapten Liverpool, Virgil Van Dijk yang menanduk masuk gol kemenangan pasukan pada penghujung tambahan masa, gembira dengan kejayaan mereka biarpun terpaksa mengharapkan sentuhan pemain-pemain muda.
“Mereka masih muda, tetapi anda boleh melihat keyakinan yang ditunjukkan dalam perlawanan ini. Kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang, namun kami yang berjaya memanfaatkannya.
“Saya sangat gembira kerana ini trofi pertama saya sebagai kapten Liverpool. Saya percaya kejayaan kami tidak akan terhenti di sini,” jelas tonggak pertahanan Belanda berusia 32 tahun itu. – AGENSI