PETALING JAYA – Seorang jururawat, Muhammad Saber Qashqash dilaporkan syahid selepas rumah keluarganya di Beit Lahia, Utara Gaza dibedil Israel, malam semalam.
Menurut hantaran sahabat beliau, Mohammed Awed di aplikasi X, Muhammad Saber telah berkhidmat secara sukarela di sebuah hospital di utara Gaza selama kira-kira 140 hari sebelum terbunuh.
“Rakan saya, Muhammad telah syahid beberapa jam lepas. Dia telah melakukan segalanya untuk melindungi dan membantu mereka yang sakit dan tercedera di utara Gaza.
“Semoga syurga menjadi milikmu, sahabat,” katanya dalam ruangan kapsyen.
Tambah Mohammed Awed, sahabatnya itu juga merupakan seorang yang bercita-cita tinggi, tidak mudah mengalah dan gemar membantu orang lain.
Lebih mendukacitakan, Muhammad Saber juga merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat.
“Dia selalu memberitahu saya betapa terujanya dia untuk melamar gadis tersebut.
“Kami sudah merancang pertunangan (Muhammad Saber) termasuklah apa yang bakal dipakai olehnya pada hari tersebut.
“Impian sahabat saya sangat besar. Tetapi, semalam, Israel telah membunuh semua mimpi-mimpinya,” katanya.
Sebelum ini, Mohamad Saber pernah tular setelah tindakannya memberikan proses bantuan pernafasan (CPR) kepada seorang kanak-kanak di atas pengusung yang bergerak tersebar di media sosial.
Difahamkan, Muhammad Saber lulus peperiksaan kejururawatan am sebelum pencerobohan bermula. – KOSMO! ONLINE