PETALING JAYA – Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 yang membuka tirainya hari ini dimulakan dengan Istiadat Pembukaan di bangunan Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Paling ditunggu pada istiadat yang dimulakan kira-kira pukul 10 pagi itu adalah titah sulung, Sultan Ibrahim.
Istiadat berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri, Ahli Parlimen dan perwakilan asing.
Sebelum urusan Titah Diraja berlangsung di Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat ke Dataran Parlimen bagi istiadat pemeriksaan kawalan kehormatan.
Berdasarkan takwim di sesawang Parlimen Malaysia, Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat akan berlangsung selama 19 hari sehingga 27 Mac ini.
Sementara itu, Mesyuarat Kedua pula dari 28 Jun hingga 18 Julai (15 hari), manakala Mesyuarat Ketiga dari 7 Oktober hingga 5 Disember (35 hari).
Bagi Dewan Negara pula, Mesyuarat Pertama akan berlangsung selama 12 hari dari 18 Mac hingga 4 April.
Diikuti Mesyuarat Kedua dari 22 Julai hingga 1 Ogos (lapan hari) dan Mesyuarat Ketiga bermula 27 November hingga 17 Disember (12 hari).
Dewan Negara juga bakal menyaksikan Yang Dipertua baharu, Datuk Mutang Taga, pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang yang dilantik ke jawatan itu mempengerusikan mesyuarat.
Bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu menggantikan Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan, susulan dilantik Yang Dipertua Negeri Sarawak pada 26 Januari lalu.
Berdasarkan takwim, Dewan Rakyat dijadual membahaskan Usul Menjunjung Kasih titah Yang di-Pertuan Agong selama tujuh hari, sehingga 7 Mac, diikuti jawapan oleh Menteri selama empat hari, dari 11 hingga 18 Mac.
Minggu keempat Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat yang bermula 18 Mac pula akan menyaksikan rang undang-undang dibentang dan dibahaskan serta urusan kerajaan lain. – KOSMO! ONLINE