PUTRAJAYA – Pengunjung sebuah pusat beli-belah di sini gempar dengan kemunculan seekor babi memasuki sebuah premis menjual pakaian sukan di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Shaari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 12.38 tengah hari berhubung kejadian tersebut serta bergegas di lokasi dan tiba pukul 12.47 tengah hari.
“Sampai di lokasi terdapat seekor babi berada di sebuah premis di dalam kompleks beli-belah tersebut. Berikutan itu, anggota bomba membuat kerja menghalau haiwan berkenaan keluar dari permis tersebut.
“Kemudian, babi itu dipercayai berlari keluar menuju ke arah padang ragbi di Presint 16,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak bomba menghubungi Bahagian Hidupan Liar Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk tindakan selanjutnya.
Ujarnya lagi, pihaknya dimaklumkan bahawa PPj menjalankan operasi menembak babi setiap hari Ahad.
“Pemantauan dijalankan oleh pihak bomba dari segi keselamatan nyawa dan harta benda. Justeru, kes tersebut diserahkan kepada pihak PPj,” katanya.
Mengulas lanjut, Shaari berkata, seramai lapan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya membabitkan dua jentera turun ke lokasi tersebut bagi menjalankan operasi berkenaan.
Terdahulu, tular beberapa gambar dan video di media sosial mengenai kemunculan babi di pusat beli-belah tersebut. – K! ONLINE