‘KE mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.’
Itulah pepatah yang sesuai ditujukan kepada Mas Sallena Mohamed Salleh, 23, apabila dia mengikut jejak langkah ibunya untuk terlibat dalam bidang fesyen.
Gadis cantik itu memaklumkan, ibunya merupakan seorang tukang jahit dan sejak kecil lagi dia telah didedahkan dengan kemahiran berkenaan.
“Ibu saya akan menjahit sendiri pakaian buat kami sekeluarga dan dia juga ada mengambil tempahan menjahit langsir.
“Disebabkan itu, saya juga suka menjahit pakaian.
“Pada usia 18 tahun, saya sudah pandai menjahit untuk menghasilkan baju sendiri,” katanya yang berasal dari Taiping, Perak.
Mas Sallena mengakui, sejak kecil dia amat meminati bidang fesyen kerana selalu menonton kartun Barbie dan pertunjukan fesyen.
Disebabkan minat dengan fesyen, Mas Sallena telah mengambil keputusan untuk mendapatkan pendidikan secara formal dalam bidang itu.
Bagi merealisasikan impiannya, dia memilih untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pereka Fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.
“Salah satu sebab saya memilih melanjutkan pengajian dalam bidang ini adalah untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai fesyen.
“Sebenarnya, fesyen ini banyak kategori seperti kasual, formal dan lain-lain lagi.
“Setelah mengetahui kategori-kategori fesyen, ia membuatkan saya lebih berminat untuk mendalami bidang ini,” terangnya.
Mengulas lanjut, dia berkata, setelah melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan, banyak ilmu baharu berkaitan fesyen diperolehnya.
Malah, dia didedahkan dengan ilmu pengetahuan tentang bagaimana cara untuk memasarkan koleksi rekaan sendiri.
Dalam pada itu, dia yang kini berada di tahun akhir pengajian berkesempatan menyertai pertunjukan UiTM Degree Fashion Show 2024 yang diadakan baru-baru ini.
“Pertunjukan fesyen ini adalah yang paling besar pernah saya sertai dengan menampilkan koleksi saya sendiri.
“Untuk pertunjukan ini, koleksi yang saya ketengahkan membawa ekpresi watak saya sendiri iaitu ceria dengan menonjolkan pakaian berwarna terang.
“Selain itu, saya membawa isu berkaitan ‘choromophobia’ iaitu perasaan takut untuk mengenakan baju berwarna terang,” ceritanya.
Tambahnya, melalui pertunjukkan itu, dia dapat belajar banyak perkara tentang proses untuk menjadi seorang pereka fesyen yang memiliki koleksi sendiri.
Sementara itu, Mas Sallena memberitahu, dia berhasrat untuk bekerja dalam bidang tersebut terlebih dahulu bagi meraih pengalaman.
Ujarnya, jika ada rezeki, dia ingin membina jenamanya sendiri dengan menghasilkan koleksi pakaian ready to wear.
“Pada masa sama, dia juga memiliki hasrat untuk menjadi tenaga pengajar dalam bidang fesyen di universiti.
“Untuk berbuat demikian, saya mesti menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi mengejar impian saya itu,” jelasnya.
Mas Sallena cukup obses dengan dunia fesyen dan jika ada waktu lapang, dia gemar melihat serta mengkaji tentang trend fesyen terkini.
Melalui cara itu, dia dapat menambah ilmu dalam bidang fesyen.
Ketika ini, dia merupakan pekerja bebas atau freelance untuk jenama pakaian terkemuka tempatan, Bulan Bintang.
Menariknya, Mas Sallena juga terlibat sebagai tatarias belakang tabir sempena Bulan Bintang The Terrrrpaling Raya Fashion Show 2024 yang diadakan baru-baru ini.
“Tugas saya dengan rakan-rakan pada pertunjukkan itu adalah untuk padankan model dengan aksesori-aksesori lain.
“Sebagai contoh, kami bertanggungjawab untuk padankan pakaian yang dikenakan model dengan warna samping bersesuaian,” jelasnya sebelum menutup bicara.