KULIM – Sebuah keluarga di daerah ini ibarat ‘tempang’ apabila anak sulung yang menjadi harapan keluarga terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga kaki kiri dipotong pada penghujung tahun lalu.
Sebelum terlibat nahas pada 26 November lalu, Muhammad Haikal Syed Abdul Kadir, 21, yang merupakan anak sulung daripada lima beradik bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit.
“Sebagai anak sulung, saya mengambil tanggungjawab membantu bapa (Syed Abdul Kadir Ayob) yang bekerja sebagai pekerja pembersihan.
“Nampaknya bakti saya tidak berpanjangan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di pekan Karangan di sini, setelah motosikal yang saya tunggang bertembung dengan kereta.
“Akibat kemalangan itu, saya mengalami kecederaan pada kaki kiri termasuk lutut dan menerima rawatan di Hospital Kulim selama 26 hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ulu Paip, Karangan, di sini baru-baru ini.
Menurut Muhammad Haikal, kecederaan dialaminya menyebabkan bahagian saraf kaki terjejas teruk dan terpaksa menjalani tiga kali pembedahaan.
“Doktor bagaimanapun terpaksa mengambil keputusan memotong kaki kiri sehingga paras betis bagi mengelakkan kesan lebih buruk,” ujarnya.
Disebabkan itu, Muhammad Haikal perlu berulang-alik ke Klinik Kesihatan Kulim setiap dua atau tiga hari untuk mencuci luka. Pemuda itu kini bergerak menggunakan tongkat dan bercadang memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sementara itu, ibunya, Rosmah Ahmad, 42, berkata, dia menganggap kejadian yang menimpa anak lelakinya sebagai ujian untuk mereka sekeluarga.
Selain Muhammad Haikal, empat lagi adik-beradiknya yang lain berusia empat hingga 18 tahun.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional Rosmah yang bernombor 0299541100324616.