DOHA – Pengarah pasukan Yamaha, Massimo Meregalli mengakui agak panik apabila jurang kualiti jentera antara pesaing masih lagi ketara sedangkan saingan MotoGP musim ini akan membuka tirai rasmi pada 8 Mac depan.
Menurut Maregalli, jentera Yamaha telah menunjukkan peningkatan yang jauh lebih baik pada sesi ujian pramusim terakhir di Qatar berbanding apa yang dilalui pada ujian musim sejuk di Litar Antarabangsa Sepang awal bulan ini.
Namun, Maregalli melihat kualiti yang ada pada pasukan pesaing seperti Ducati dan Honda jauh lebih baik dan perkara itu agak merisaukan pasukan memandangkan saingan akan bermula kurang dua minggu lagi.
“Saya rasa kita telah buktikan prestasi pasukan pada sesi pramusim terakhir ini jauh lebih baik berbanding di Malaysia. Jentera kami telah menunjukkan peningkatan yang ketara terutama daripada aspek kepantasan.
“Namun, saya masih risau selepas melihat kualiti jentera pesaing kerana saya jangka selepas apa yang kita lakukan, mungkin jurang semakin hampir tetapi situasi sebaliknya berlaku.
“Ini kerana pesaing juga telah menunjukkan peningkatan berbanding apa yang dijalani di Malaysia.
“Apa yang pasti, masih ada ruang serta masa untuk kita perbaiki kelemahan dan harap pasukan bersedia untuk berikan yang terbaik apabila perlumbaan sebenar bermula nanti,” katanya. – AGENSI