AKSI mantap perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 baru-baru ini boleh dijadikan sebagai kayu ukur berhubung peningkatan prestasinya.
Skuad badminton lelaki negara seharusnya boleh menarik nafas lega mengambil kira prestasi Jun Hao ketika ini selain turut memiliki dua lagi bintang perseorangan iaitu Ng Tze Yong dan Lee Zii Jia.
Berdasarkan aksi ditampilkan pada BATC 2024, Jun Hao berharap barisan kejurulatihan mengambil kira prestasi tersebut dan menyenaraikannya dalam skuad Piala Thomas di Chengdu, China bermula April depan.
“Sudah tentu saya berharap selepas BATC, saya boleh menampilkan aksi lebih meyakinkan serta konsisten. Rekod saya di BATC cukup baik, jadi saya mahu teruskan permainan seperti ini.
“Selain itu, saya juga meletakkan harapan supaya apa yang ditampilkan pada BATC boleh membantu untuk disenaraikan dalam skuad Piala Thomas,” kata bekas juara remaja Asia 2017 itu.
Pada aksi final BATC minggu lalu, Jun Hao mengambil tanggungjawab selaku perseorangan pertama menentang Weng Hong Yang dari China selepas Zii Jia dan Tze Yong dibelenggu masalah kecederaan serta kesihatan.
Prestasi Jun Hao musim ini boleh dianggap membanggakan meskipun kurang konsisten selepas berjaya menewaskan Kenta Nishimoto dari Jepun selain memberikan saingan sengit kepada bintang Indonesia, Anthony Ginting pada Indonesia Masters bulan lalu.
Dalam pada itu, Jun Hao juga sentiasa mencari ruang untuk memastikan dia pulih sepenuhnya daripada kecederaan pinggul dialaminya selain sedia bekerja keras setiap kali mendapat peluang turun ke dalam gelanggang.