PETALING JAYA – Rakyat Malaysia mencatatkan pemilikan kenderaan kedua tertinggi di Asia.
Menurut data yang dikeluarkan Organisasi Antarabangsa Pengeluar Kenderaan Bermotor (OICA), Malaysia menduduki tempat kedua di Asia bagi pemilikan kereta tertinggi dari tahun 2015 hingga 2020.
Data berkenaan dikeluarkan berdasarkan pemilikan kereta di benua Asia yang dikira daripada bilangan kereta berdaftar bagi setiap 1,000 orang termasuk kedua-dua kenderaan penumpang dan komersial.
Sementara itu, negara Jepun mendahului senarai di Asia dengan kadar pemilikan 612 buah kereta bagi setiap 1,000 orang diikuti Malaysia dengan kadar pemilikan 535 unit.
Menurut data itu lagi, negara Asia Tenggara lain yang termasuk dalam senarai itu ialah Thailand di tempat ketujuh dan Indonesia di tempat kedua belas.
Selain itu, turut tersenarai ialah Vietnam di tempat ketiga belas dan Filipina di tempat keempat belas. – KOSMO! ONLINE.