fbpx

Rakyat Indonesia diminta bawa RM1,992 jika melawat Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR menunjukkan sebuah pejabat imigresen di Thailand . – TRAVELFISH

BANGKOK – Kedutaan Indonesia di Bangkok mengeluarkan peringatan kepada rakyatnya yang mahu melawat Thailand supaya membawa wang tunai minimum yang mencukupi bagi mengelak risiko tidak dibenarkan masuk ke negara berkenaan, lapor laman berita Thaiger semalam.

Kaunselor Menteri Kedutaan Indonesia di Bangkok, Dewi Lestari mendedahkan mengenai syarat kemasukan ketat oleh kerajaan Thailand dalam satu wawancara eksklusif bersama rangkaian berita tempatan, RRI.

Lestari berkata, tanpa mengira kewarganegaraan, semua pelancong asing yang memasuki Thailand wajib menunjukkan bukti keupayaan kewangan bersamaan minimum 15,000 baht (RM1,992) perlu berada di tangan.

“Ramai warga Indonesia mendapati mereka tidak dibenarkan memasuki Thailand di sempadan dan ini mendorong kedutaan kami mengeluarkan peringatan penting tersebut,” katanya.

Menurutnya, senarai yang perlu diperiksa oleh pelawat termasuk pasport sah, tiket pulang, bukti penginapan dan paling penting adalah bukti kewangan bagi membiayai keberadaan mereka di Thailand.

Di bawah Seksyen 12, Akta Imigresen Thailand 1979, pelawat yang gagal memenuhi kriteria tertentu berisiko tidak dibenarkan masuk terutamanya jika mereka tidak mempunyai kewangan mencukupi, demikian lapor laman berita World of Buzz.

Lestari juga mendedahkan tentang pemeriksaan lebih ketat oleh Imigresen Thailand dan memetik operasi pihak berkuasa berkenaan dalam membanteras jenayah penipuan pekerjaan dan penyeludupan manusia sejak kebelakangan ini.

Beliau juga menyatakan tentang perbezaan pendapat dalam kalangan pegawai imigresen Thai mengenai syarat wang tunai tersebut.

“Walaupun undang-undang tidak menyatakan jumlah tertentu, data kami menunjukkan wang tunai sekurang-kurangnya 15,000 baht untuk pelancong solo dan 20,000 baht (RM2,660) untuk pelawat berkeluarga,” katanya.

Jelas Lestari, pelawat digesa melengkapkan dokumen yang diperlukan dan memastikan mereka membawa wang tunai minimum bagi mengelakkan kekecewaan di sempadan.  – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI