PETALING JAYA – Selepas dilamar kekasihnya, Syed Hariz di atas sebuah pesawat ringan, pelakon Afifah Nasir dikhabarkan telah mengikat tali pertunangannya bersama lelaki sama dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup, malam tadi.
Menerusi hantaran yang dikongsikan kakaknya, Anzalna Nasir yang juga pelakon dalam InstaStory, kelihatan Afifah atau nama lengkapnya Nur Afifah Nasir, 31, diraikan keluarga dan saudara-mara terdekat di majlis tersebut.
“Tahniah Hariz dan Afifah. Cantik dekorasi dan lanskap. Sempat saya berangan dekat pelamin dengan sepupu saya,” kongsi Anzalna.
Dalam hantaran sama, kelihatan Afifah yang anggun mengenakan baju kurung moden berona putih duduk di atas pelamin bersama keluarga. Turut berada di sisi pelakon jelita itu adalah tunangnya, Hariz yang segak mengenakan baju Melayu potongan teluk belangan dengan rona senada.
Menerusi hantaran berbeza yang dikongsikan salah seorang sepupunya dalam InstaStory, pelakon filem Budak Kripto itu dilihat berjalan menuju ke pelamin dengan senyuman manis, sambil ditangannya membawa sejambak bunga ros berwarna merah.
Bagaimanapun, sehingga kini Afifah masih belum berkongsi apa-apa kenyataan tentang majlis tersebut, termasuk memuat naik video atau gambar dalam media sosial miliknya.
Usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang majlis pelakon itu juga tidak berhasil apabila panggilan telefon yang dibuat ke atas pengurus dan kakaknya, Anzalna tidak dijawab.
Bulan lalu Afifah membuat kejutan apabila berkongsi gambar dengan kekasihnya dalam busana tradisional sehingga disangka bertunang.
Kedua-duanya yang memilih persalinan merah jambu dengan si jejaka tampan berbaju Melayu lengkap itu hakikatnya menghadiri majlis kenduri akikah anak saudara pelakon terbabit.
Walaupun menafikan gosip pertunangan, Afifah mengakui tidak akan menyembungikan berita gembira tersebut andai jodohnya tiba. – KOSMO! ONLINE