KENINGAU – Dua penunggang motosikal maut, manakakala seorang lagi parah dalam kemalangan berasingan di Jalan Sook Tulid tengah malam dan awal pagi ini.
Dua mangsa yang meninggal dunia adalah penunggang motosikal Honda 110, Rain Dahap, 26, dan penunggang Honda FS150FJ, Juanis Uvil, 30.
Mangsa yang parah pula merupakan penunggang motosikal 118CC berusia 23 tahun.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kemalangan pertama berlaku pada pukul 12.15 tengah malam di Kilometer 3, Jalan Sook Tulid.
“Si mati yang datang dari arah Sook dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan. Mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semantara itu, Yampil berkata, nahas kedua berlaku di Kilometer 5, Jalan Sook Tulid pada pukul 2 pagi melibatkan dua penunggang motosikal Honda FS150FJ dan 118CC.
“Siasatan mendapati motosikal 118CC dari arah Sook, manakala motosikal Honda pula berada di belakang 118CC. Kedua-dua motosikal ini hilang kawalan selepas melalui selekoh dan terbabas,” katanya.
Kejadian itu mengakibatkan penunggang motosikal Honda parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Seorang lagi penunggang yang cedera parah di muka dan badan dihantar ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.-KOSMO! ONLINE.