fbpx

KKM sedia SOP hadapi El Nino

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA SELANGOR – Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi fenomena El Nino yang diramal melanda negara sehingga Jun ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu antaranya melibatkan kesiapsiagaan semua fasiliti kesihatan dan pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara.

Jelas beliau, SOP yang ditetapkan pihaknya itu mengambil kira faktor cuaca panas ketika ini termasuk keadaan jerebu.

“KKM mahu memastikan fasiliti kesihatan sentiasa bersedia dengan bekalan ubat-ubatan terutama penyakit berkaitan jangkitan mata dan pernafasan.

“Selain itu, kita akan terus memantau bacaan IPU dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Kuala Selangor di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chih, Bestari Jaya di sini, malam tadi.

Awal bulan ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan El Nino dengan intensiti kuat yang melanda dunia ketika ini dijangka berterusan hingga pertengahan tahun ini.

Justeru, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengadakan mesyuarat bersama pelbagai kementerian dan agensi bagi memastikan persediaan terbaik menghadapi kesan fenomena itu.

Tambah Dzulkefly, kementeriannya akan meneruskan penyebaran bahan pendidikan kepada orang ramai.

“Kita memainkan peranan dalam memberi nasihat teknikal termasuk berkaitan penganjuran aktiviti sukan dan langkah penjagaan kesihatan.

“Semua SOP itu sudah ada dan akan dihebahkan kepada umum nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, KKM sentiasa sedia bekerjasama dengan NRES bagi membincangkan isu mengenai fenomena tersebut.

“Setakat ini, keadaan masih terkawal dan saya difahamkan tiada kes strok haba serius berlaku. Perkara paling penting adalah kita sememangnya sudah bersedia dan mengikut SOP biasa termasuk melibatkan jerebu,” katanya.-KOSMO!ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI