REMBAU – Pasukan bomba mengambil masa lebih tiga jam untuk membawa keluar seorang wanita yang cedera ketika beriadah di Gunung Datuk, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota diketuai Pegawai Bomba, Mohd Iskandar Usman dikejarkan ke Gunung Datuk sebaik menerima laporan berhubung kejadian terbabit pada pukul 6.44 petang tadi.
“Sebaik tiba, didapati terdapat seorang wanita berusia 49 tahun cedera di bahagian pergelangan kaki dan jarak tapak kaki gunung dengan mangsa adalah kira-kira 500 meter.
“Disebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki, pergerakan membawa mangsa turun ke tapak kaki gunung agak perlahan serta berhati-hati. Mangsa di papah bergilir gilir oleh pasukan dan berjaya tiba di tapak kaki Gunung pada pukul 10.30 malam tadi,” katanya, hari ini. – KOSMO! ONLINE