fbpx

Izzah digelar ‘Pocket Rocket’ versi wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZZAH

KEJAYAAN atlet berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri meraih gangsa acara pecut individu wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, ­India melayakkan dia mendapat nama gelaran baharu.

Pengarah teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley menyifatkan Izzah yang memiliki ketinggian 1.52 meter (m) itu sebagai ‘The Pocket Rocket’ baharu Malaysia selepas Datuk Azizulhasni Awang.

Izzah meraih pingat gangsa acara pecut individu wanita kelmarin selepas mengenepikan cabaran pelumba Jepun, Aki Sakai menerusi kemenangan 2-0 pada aksi penentuan gangsa di Velodrom Indira ­Gandhi itu.

Kata Beasley, anak buahnya itu berada pada landasan tepat untuk melakar kejayaan di pentas antarabangsa, namun masih banyak yang perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil ­terbaik.

“Saya sememangnya tahu Izzah sudah tidak jauh lagi (capai potensi). Dia seorang lagi ‘Pocket Rocket’ untuk Malaysia. Untuk mencapai kejayaan di kejohanan dalam tempoh awal kerjaya adalah sesuatu yang ­istimewa.

“Bagaimanapun, masih ada banyak perkara (kelemahan) yang perlu diperbaiki. Saya harap seluruh rakyat Malaysia nantikan aksinya pada kitaran Olimpik yang seterusnya,” kata jurulatih dari Australia itu.

Gangsa di New Delhi itu adalah kali pertama Izzah, 21, menje­jakkan kaki ke podium acara pecut selain menjadi pelumba wa­nita kedua negara me­raih pi­ngat bagi ka­tegori ­tersebut.

Izzah mula mencuri tumpuan selepas melakar kejutan merangkul pingat emas acara 500 meter ujian masa di ACC 2022 pada usianya baru mencecah 19 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI