BATU CAVES – Pelawak dan pengacara Nabil Ahmad memberitahu, dia tidak takut untuk terus dengan perancangannya membuka cawangan minuman Bubblebee di bawah kendaliannya walaupun rangkaian perniagaan popular tersebut pernah terpalit dengan isu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.
Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 37, berkata, perancangan tersebut tetap diteruskan dan akan dibuka selewat-lewatnya awal tahun hadapan.
“Apa yang saya nak takutkan. Tidak perlu rasanya. Meniaga apa-apa pun pasti ada risiko.
“Semalam saya baru bertemu dengan Shuib untuk membincangkan mengenai perancangan tersebut. Insya-Allah jika tiada aral melintang, cawangan berkenaan akan dibuka secepat mungkin,” katanya ketika ditemui pada sesi Meet & Greet bersama Nabil, Achey dan Zizan di ibu pejabat Dorylicious semalam.
Tambah Nabil, walaupun Shuib terpalit dengan isu pengubahan wang haram yang melibatkan perniagaan air minuman yang dijalankan, kerjasama sepenuhnya tetap diberikan kepada SPRM.
“Menurut maklumat yang saya dapat dan perolehi, Shuib memang tidak bersalah. Walaupun terpalit dengan isu tersebut, perniagaan dan cawangan minumannya tetap beroperasi serta mendapat sambutan pelanggan,” katanya yang tidak sabar membuka sebuah cawangan di bawah usahasama tersebut di Seremban 2, Negeri Sembilan kelak.
Jelas pengacara MeleTOP itu juga, zaman sekarang ada pelbagai medium yang boleh digunakan untuk memeriksa dan memastikan sesebuah perniagaan itu sahih atau tidak.
Bercakap mengenai sesi Meet & Greet bersama Achey dan Zizan, Nabil memberitahu itu merupakan usahasama strategik dalam perniagaan makanan kudapan berasaskan kulit ikan berjenama Dorylicious.
“Saya mula turut serta dan menjadi rakan kongsi dalam perniagaan ini sejak hujung Julai lalu dan penerimaannya amat memberangsangkan.
“Hari ini dua lagi rakan artis iaitu Zizan dan Achey turut serta menjadi rakan kongsi dengan masing-masing mempunyai satu produk,” ujarnya.
-K!ONLINE