fbpx

Bakal wujud beras lebih murah, alternatif kepada rakyat – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bersetuju untuk mempertimbangkan semula penawaran harga Beras Putih Import (BPI) dalam pasaran domestik supaya ia boleh dijual pada harga lebih rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu sekali gus bakal mewujudkan alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan beras dengan harga yang lebih berpatutan.

Katanya, meskipun bekalan dan harga Beras Putih Tempatan (BPT) dalam pasaran domestik secara umumnya terkawal, namun pihaknya masih menerima aduan berhubung isu bekalan BPT yang terhad.

“Rakyat juga terkesan dengan kenaikan harga BPI di pasaran global berikutan larangan eksport yang dikenakan oleh negara pengeluar beras.

“Saya tegaskan betapa campur tangan Kerajaan Madani pada ketika ini amat kritikal dan perlu diputuskan segera bagi memastikan isu bekalan dan harga makanan ruji utama rakyat ini terus kekal stabil di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024 yang turut dihadiri oleh menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha kementerian berkaitan serta ahli akademik yang merupakan ahli NACCOL.

Menerusi mesyuarat itu, Perdana Menteri turut menegaskan berhubung kepentingan mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan keberadaan beras di pasaran.

Katanya, ia juga bagi memastikan tiada pemborong atau pengilang mengaut keuntungan berlebihan atau bertindak mencampurkan kandungan BPT dan BPI untuk dijual dengan harga tinggi.

“Mesyuarat turut mendengar penjelasan terperinci terkait cadangan pelaksanaan Beras Putih Malaysia Madani.

“Pada masa sama, beberapa wakil industri dan NGO antaranya mewakili pesawah dan pengilang turut menyuarakan beberapa cadangan berhubung situasi padi dan beras negara khususnya bagi memastikan ketersediaan beras pada harga munasabah kepada rakyat,” jelasnya.

Katanya, selepas mendengar dan mengambil kira semua pandangan, mesyuarat mengambil ketetapan agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengetuai dan menyelaras sesi libat urus secara lebih terperinci sesegera mungkin.

“Libat urus ini perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.

“Saya turut mengarahkan supaya hasil libat urus ini dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat NACCOL pada 20 Mac 2024 sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” jelasnya.

Anwar juga mengarahkan agar program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani dan lain- lain diperbanyakkan supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan harian, termasuk beras pada harga rendah berbanding pasaran.

“Jadual pelaksanaan jualan-jualan murah ini akan dihebahkan secara kerap,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI