KOTA KINABALU – Sebanyak 205 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM6.85 juta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah pada 15 Februari lalu.
Dalam operasi yang dijalankan pada pukul 9.10 pagi, rampasan dibuat di sebuah premis di HS Commercial Centre, Penampang.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, JKDM pada awalnya mengesan 15 kotak mencurigakan di gudang Pos Aviation Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) sebelum hasil imbasan dan pemeriksaan lanjut mendapati semua kotak berkenaan mengandungi dadah jenis Methamphetamine.
“Semua dadah dibungkus menggunakan bungkusan teh cina sebelum disimpan di dalam kotak dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Dadah seberat 205 kilogram itu dianggarkan bernilai RM6.85 juta berdasarkan nilai pasaran semasa.
“Berdasarkan siasatan, modus operandi yang digunakan pengedar dadah adalah dengan menghantar melalui perkhidmatan kurier bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa
“Setakat ini, JKDM Sabah belum membuat sebarang tangkapan dan usaha mengesan suspek atau ahli kumpulan penyeludup serta pihak berkaitan lain giat dijalankan.
“Penerima bagi bungkusan ini juga sukar dikesan berikutan sindiket penyeludup hanya menggunakan alamat pejabat premis penghantar barang dan bungkusan ini akan dituntut sendiri di premis terbabit oleh sindiket berkenaan,” katanya.-KOSMO! ONLINE