KUALA LANGAT – Sime Darby Plantation Berhad (SDP) menyasarkan 100 peratus tenaga kerja tempatan dalam sektor kelapa sawit menjelang tahun 2027.
Ketua Pegawai Sumber Manusia SDP, Zulkifli Zainal Abidin berkata, langkah tersebut dijalankan menerusi Projek Lokal dalam membawa masuk pekerja tempatan mahir bagi pengurusan ladang tersebut.
Katanya, ini dilakukan menerusi penggunaan mesin dan jentera alat kawalan jauh dan canggih bagi memudahkan kerja-kerja ladang yang sebelum ini dikenali sebagai 3D (kotor, sukar dan bahaya).
“Projek lokal yang dimulakan secara intensif bermula 2021 adalah bagi mentranfomasi persepsi 3D kepada kerja mahir.
“Setakat ini, 600 pekerja tempatan termasuk wanita telah diserap masuk dalam projek itu di seluruh ladang milik SDP.
“Jika dahulu, persespi wanita tidak boleh direkrut untuk kerja di ladang susulan terpaksa membawa barangan berat namun dengan mekanisasi telah memudahkan pekerjaan tersebut,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin melakukan lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan dan Pembangunan SDP di Pulau Carey.
Menurut Zulkifli, penggunaan mesin-mesin ini juga dapat mengurangkan tenaga kerja asing seterusnya dapat menambah baik kadar gaji di kalangan pekerja tempatan.
Ujarnya, pihaknya juga akan menambah baik kemudahan lain seperti rumah bagi menarik minat pekerja tempatan berusia lingkungan 25 tahun.
“Kita menyasarkan seorang pekerja akan menjaga seluas 17.5 hektar pada tahun 2027 menerusi projek ini berbanding seorang pekerja untuk lapan hektar ladang kelapa sawit ketika ini.
“Malah pada tempoh sama, lebih 700 pekerja tempatan mahir akan memenuhi semua ladang milik SDP,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut memfokuskan kepada penciptaan prototaip terutama untuk mesin menuai kelapa sawit.
“Ini berikutan kerja mengait buah ini terutama pokok-pokok yang tinggi adalah paling sukar dalam peladangan kelapa sawit.
“Tidak ramai pekerja tempatan mahu kerja bahagian ini dan masih bergantung kepada tenaga asing,” katanya. -KOSMO!ONLINE