TUMPAT – Seorang kanak-kanak perempuan yang merupakan pesakit Covid-19 berdepan detik cemas apabila kepalanya tersangkut pada bahagian besi katil ketika sedang menerima rawatan di Hospital Tumpat di sini malam tadi.
Bagaimanapun, kejadian pada pukul 10.25 malam itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada mangsa yang berusia empat tahun.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Pegawai Bomba Kanan I Marzuki Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 10.27 malam.
Menurutnya, seramai lapan anggota terus bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja membantu dan menyelamatkan mangsa.
“Apabil tiba di hospital, kita melihat bahagian kepala seorang kanak-kanak perempuan yang merupakan pesakit Covid-19 telah tersangkut dan tersepit dibesi katil.
“Anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk memotong besi katil bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.
Marzuki memberitahu, bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, operasi tersebut turut dipantau oleh pegawai perubatan dan jururawat hospital berkenaan. – K! ONLINE