BANGKOK – Seramai 37 pelancong dari Malaysia cedera apabila sebuah bas persiaran terbabas dari jalan di daerah Bo Phloi, wilayah Kanchanaburi, semalam, lapor akhbar Bangkok Post.
Turut cedera ialah seorang pemandu bas dan pemandu pelancong dari Thailand.
Kejadian berlaku di antara penanda kilometer 14 dan 15 di Jalan Bo Phloi-Lat Ya, kata polis yang dimaklumkan pada kira-kira 1.30 tengah hari (waktu tempatan) semalam.
Polis, anggota penyelamat dan perubatan yang bergegas ke lokasi kejadian menemui kesemua 39 mangsa cedera dengan ada yang mengalami kecederaan parah.
Lebih 20 ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian sebelum membawa kesemua mangsa ke Hospital Bo Phloi.
Tayar belakang bas yang bernombor pendaftaran Bangkok pecah dan cermin depannya pecah.
Menurut pemandu bas, Sarayu Daengdam, 44, pada awal semalam, bas tersebut membawa kumpulan pelancong itu ke Taman Safari Kanchanaburi sebelum menuju ke sebuah restoran di pusat bandar di daerah Mueang.
Ketika Sarayu cuba memotong sebuah lori kira-kira pukul 1 tengah hari (waktu tempatan), stereng bas rosak, menyebabkan ia terbabas pinggir jalan.
Mereka bernasib baik kerana kertika itu, tiada kenderaan menghampiri dari arah bertentangan.
Polis pelancong dilaporkan melawat hospital yang menempatkan pelancong-pelancong Malaysia yang cedera, manakala pemandu bas akan dipindahkan ke kemudahan perubatan lain untuk rawatan kritikal. – AGENSI