PETALING JAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan konon Malaysia berkemungkinan menjadi destinasi pengecualian visa bagi Israel.
Saifuddin berkata, dakwaan di media sosial yang dimuat naik semula itu bertujuan mencipta naratif jahat dan fitnah ke atas beliau serta kerajaan Malaysia.
“Kehadiran saya seperti dalam gambar (dakwaan di media sosial) adalah atas kapasiti saya sebagai salah seorang delegasi dan mendengar ucapan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di UNGA (Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).
“Israel, jangan perasan. Sewaktu ucapan di UNGA, Perdana Menteri Malaysia jelas mengkritik sekeras-kerasnya tindakan Israel d hadapan semua,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Beliau turut berkongsikan tangkap layar dakwaan itu yang menyebut: “MP negara haram Israel, Danny Danon membuat satu kiriman di laman X, kemungkinan Malaysia jadi destinasi pengecualian visa & gembira atas kehadiran Menteri KDN, Saifuddin Nasution ke sidang PBB” – KOSMO! ONLINE