fbpx

Bekalan air kembali pulih, Pulau Pangkor sedia terima semula pelancong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penduduk mengangkat bekalan air bersih yang diperoleh dari lori tangki air LAP di rumahnya di Kampung Teluk Dalam, Pulau Pangkor baru-baru ini.

IPOH – Sektor pelancongan Pulau Pangkor sudah bersedia menerima semula kehadiran pengunjung apabila masalah gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlaku sejak awal bulan ini kembali pulih sepenuhnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, masalah kebocoran di beberapa saluran paip rentas dasar laut yang menjadi punca kepada isu berkenaan telah berjaya diselesaikan susulan langkah-langkah mitigasi dilaksanakan oleh Lembaga Air Perak (LAP).

“Selain kerja-kerja pembaikan, LAP juga telah melaksanakan beberapa langkah mitigasi bagi mengatasi masalah berkenaan, termasuklah meningkatkan bekalan air ke daerah Manjung ke paras optimum serta melaksanakan pengezonan semula bekalan di kawasan yang terlibat dengan gangguan.

“Langkah diambil termasuklah lori tangki air dalam mod standby yang bersedia untuk digerakkan selain penyediaan tangki-tangki statik di lokasi-lokasi strategik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, paras kolam air di Pulau Pangkor menunjukkan trend peningkatan yang positif, manakala kawasan-kawasan yang sebelum ini mengalami gangguan bekalan air termasuk Teluk Nipah, Teluk Dalam dan Sungai Pinang Kecil dilaporkan telah pulih sepenuhnya.

Bahkan, beliau berkata, para penggiat pelancongan termasuk pemilik chalet dan rumah inapan yang terjejas akibat masalah bekalan air juga sudah boleh kembali beroperasi seperti biasa.

“Walaupun situasi di Pulau Pangkor sudah kembali pulih, LAP akan terus memantau kestabilan bekalan air ke kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang terutamanya sepanjang kempen Tahun Melawat Perak 2024,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI