fbpx

Kerajaan sedia hadapi cuaca panas, kering, fenomena El Nino

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bil. 1 Tahun 2024, semalam. - Foto IHSAN NRES

PUTRAJAYA – Kerajaan bersedia menghadapi cuaca panas, kering serta fenomena El Nino susulan fasa akhir Monsun Timur Laut dijangka berlaku sehingga penghujung Mac ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bil. 1 Tahun 2024 semalam, beberapa perkara telah dipersetujui bagi menghadapi perkara tersebut.

Beliau berkata, antara yang dipersetujui pada mesyuarat berkenaan adalah kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri perlu sentiasa peka terhadap perubahan cuaca selain kualiti udara negara melalui aplikasi myCuaca, laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, aplikasi MyIPU serta portal APIMS Jabatan Alam Sekitar.

“Kementerian, jabatan dan agensi berkaitan akan mengambil tindakan sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan berdasarkan Tahap Amaran dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU).

“Jabatan dan agensi terlibat perlu sentiasa bersedia melaksanakan pemadaman kebakaran berskala besar secara serta-merta dan Operasi Pembenihan Awan sekiranya diperlukan tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai.

“NRES dengan kerjasama kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan ‘whole of government approach’ bagi membanteras kebakaran tapak pelupusan sampah haram, menambah baik tindakan pencegahan kebakaran hutan dan belukar tanah gambut menyebabkan jerebu tempatan, menjejaskan kualiti udara negara serta kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Nik Nazmi, kerajaan juga akan memperkemas strategi, mengukuhkan kerjasama pelbagai hala di peringkat ASEAN melalui penglibatan aktif dalam siri mesyuarat di bawah Perjanjian ASEAN mengenai Jerebu Merentas Sempadan pada Jun dan Oktober tahun ini.

“NRES juga akan meneroka peluang mewujudkan kerjasama dua hala bersama negara jiran bagi menangani isu jerebu merentas sempadan.

“NRES sedang meneliti mekanisme terbaik yang merangkumi langkah-langkah jangka masa pendek dan jangka masa panjang serta keperluan penggubalan instrumen perundangan bagi menangani masalah jerebu merentas sempadan secara efektif dan holistik.

“Perkara ini akan dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keberkesanan dan kebolehlaksanaannya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, fenomena El Nino dengan intensiti kuat sedang melanda dunia dijangka akan menyebabkan suhu maksimum harian negara lebih tinggi dan cuaca lebih panas serta kering berbanding biasa.

“Fenomena ini dijangka berlarutan sehingga suku tahun kedua tahun ini dan peralihan El Nino Southern Oscillation (ENSO) kepada neutral dijangka berlaku sekitar April hingga Jun depan.

“Monsun Barat Daya pula akan bermula pada Mei sehingga September ini dan negara dijangka menerima hujan pada paras purata di kebanyakan tempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI