SEBERANG PERAI – Seorang anggota bomba dikhuatiri lemas ketika sedang menyelenggara bot penyelamat di Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mak Mandin di Sungai Perai di sini, malam tadi.
Difahamkan, anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Mohd. Izwan Ilias, 42, dikatakan terjatuh ke dalam sungai kira-kira pukul 10 malam.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Khairy Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.20 malam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Mangsa melakukan penyelenggaraan bot untuk memastikan ia berada dalam keadaan siap siaga sekiranya diperlukan untuk kegunaan operasi.
“Walau bagaimanapun, mangsa didapati tiada di bot ketika penyelia datang membuat pemeriksaan manakala bot terbabit juga didapati hanyut.
“ Penyelia turut terdengar jeritan mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pasukan penyelamat untuk mencari mangsa sehingga ke pagi ini. – KOSMO! ONLINE