fbpx

Bawa anak berkhatan di fasiliti berdaftar KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan ibu bapa untuk membawa anak mereka berkhatan di fasiliti dikendali oleh pengamal perubatan berfaftar dengan pihaknya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia berdasarkan audit berkhatan dijalankan KKM pada cuti persekolahan pada 14 Disember 2023 hingga 1 Januari lalu terdapat peningkatan bilangan kes rujukan ke hospital KKM bagi kanak-kanak yang mengalami komplikasi selepas berkhatan.

Katanya, komplikasi itu terdiri daripada komplikasi minor dan komplikasi major yang memerlukan pembedahan semula.

“Komplikasi-komplikasi ini, sama ada major mahu pun minor sudah tentu akan mengakibatkan kegusaran dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan kanak-kanak.

“Ia akan turut membawa kepada gangguan mental dan menjejaskan perkembangan emosi kanak-kanak itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, sekiranya ibu bapa bercadang mengkhatankan anak pada program yang dijalankan di luar fasiliti kesihatan, KKM menyarankan ibu bapa memastikan anak berumur tujuh tahun ke atas dan mempunyai keadaan fizikal atau anatomi zakar yang normal.

“Bagi kanak-kanak yang tidak memenuhi kriteria di atas, KKM menyeru ibu bapa mendapatkan nasihat doktor dan pakar perubatan di mana-mana fasiliti kesihatan berdekatan,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya juga menegaskan bahawa terdapat beberapa masalah kesihatan yang tidak sesuai untuk menjalani prosedur berkhatan di luar hospital.

“Antara masalah tersebut adalah fizikal (anatomi) zakar tidak normal, hypospadias, buried penis, phimosis, pendarahan dan anak keperluan khas,” katanya.

Bagi memastikan prosedur berkhatan dijalankan selamat, kata beliau, KKM telah menubuhkan Kumpulan Kerja Teknikal terdiri daripada pengamal perubatan kerajaan dan swasta bagi pemantauan aktiviti berkhatan di negara ini.

“Ini membuktikan komitmen dan kesungguhan KKM dalam memastikan tahap kompetensi pengamal perubatan yang menjalankan prosedur berkhatan dipantau secara berterusan.

“Bagi tujuan ini, KKM turut menjalankan latihan secara berterusan kepada pengamal perubatan dan menjalinkan kerjasama erat bersama pengamal perubatan swasta dan badan bukan kerajaan yang terlibat dengan prosedur berkhatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI