fbpx

Keluarga mahu pelaku dikenakan hukuman setimpal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAZUWAN Samad (kiri) menenangkan ibunya, Khalijah (tengah) ketika mereka ditemui pemberita di Rumah Rakyat Ulu Beranang, Lenggeng, Seremban hari ini-NUR SHARIEZA ISMAIL/KOSMO!

SEREMBAN – Keluarga lelaki yang maut dipukul selepas terlibat dalam kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, kelmarin mahu pelaku kejadian dikenakan hukuman yang setimpal.

Bapa mangsa, Samad Bakar, 70, berkata, dia sendiri tidak sanggup untuk melihat video tular kejadian yang telah mengorbankan anak keduanya itu, Allahyarham Shahril Samad, 42.

“Saya tak sanggup lihat video kejadian membabitkan arwah. Orang yang buat sebegitu ke atas anak saya sehingga maut patut dikenakan hukuman sewajarnya oleh pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Rakyat Ulu Beranang di sini.

Sementara itu, menurut adik mangsa, Shazuwan Samad, 27, abangnya menunjukkan perangai pelik iaitu makan tapai setiap hari sebelum kejadian berlaku.

Perkara itu menurutnya turut disedari oleh ibunya, Khalijah Ahmad, 64.

“Ibu yang perasan abang makan tapai kerap sangat pada setiap hari dia minya tapai. Selalunya abang tidak makan tapai sekerap sebegitu,” katanya.

Shazuwan dalam pada itu berkata, pihak keluarga, kami memang sangat terkilan akan kemalangan yang menimpa Allahyarham.

“Saya rapat dengan abang, dia seorang abang yang baik. Kami terkilan sebab dapat tahu mengenai kejadian tersebut lambat iaitu sekitar pukul 1 pagi.

“Sebelum itu, abang nombor tiga saya, Shahrul Samad, 40, yang menghubungi keluarga memaklumkan kejadian yang berlaku dan ketika dia sampai di lokasi, arwah sudah meninggal dunia,” katanya lagi.

Katanya, jenazah abangnya itu telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ulu Beranang, Lenggeng, di sini, selepas Isyak semalam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin yang menziarahi keluarga mangsa berharap siasatan telus dapat dilakukan dalam kejadian berkenaan.

“Kejadian tragis sebegini sehingga mangsa diikat, dicekik dan dipukul memang sesuatu yang memeranjatkan dan tidak berperikemanusiaan.

“Saya berharap agar keluarga mangsa dapat keadilan sewajarnya dengan kemalangan yang menimpa mangsa,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki maut selepas ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam akibat terbabit dalam kemalangan serta tangannya diikat dan dipukul.

Mangsa dikatakan dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dalam pada berkata, lima lelaki berusia 25 tahun hingga 52 tahun telah ditahan dan direman sehingga 25 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI