GEORGE TOWN – Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) menyuntik dana tambahan sebanyak RM5 juta bagi menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan Bumiputera di Pulau Pinang menerusi Tabung Perumahan Bumiputera Pulau Pinang (TPBPP) yang diuruskan Co-opbank Pertama (CBP).
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, perkara itu merupakan antara yang dipersetujui MPBPP dengan tujuan penambahbaikan terhadap skim TPBPP sedia ada bagi memudahkan pemilikan hartanah oleh Bumiputera di Pulau Pinang.
”Perkara ini selari dengan objektif penubuhan TPBPP yang telah diwujudkan pada 27 Februari 2012 bagi membantu Bumiputera yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri.
”Ia juga untuk meningkatkan pemilikan hartanah bumiputera di negeri ini dengan mengambil kira faktor persekitaran pemilikan rumah di Pulau Pinang,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, di samping suntikan tambahan dana sebanyak RM5 juta, skim pembiayaan perumahan itu juga ditambah baik dengan had pendapatan isi keluarga pemohon dinaikkan kepada maksimum RM12,000 sebulan dari RM3,000 sebulan sebelum ini.
”Jumlah had pembiayaan hartanah juga telah dipersetujui dinaikkan kepada RM300,000 dari RM200,000.
”Kenaikan jumlah had pembiayaan ini sedikit sebanyak dapat memberi pilihan kepada para pelanggan dalam memilih bentuk kediaman yang bersesuaian dengan keperluan mereka,” katanya.
Tambahnya, CBP sebagai sebuah bank koperasi yang mula bertapak di Pulau Pinang amat berbesar hati dengan mandat yang telah diberikan oleh MPBPP bagi menjayakan skim pemilikan perumahan Bumiputera itu.
Dalam pada itu, katanya, sebelum ini, MPBPP telah memperuntukkan sebanyak RM14.59 juta kepada CBP yang dioperasikan secara dana pusingan (rolling-fund).
”Dana ini disalurkan secara berperingkat iaitu sebanyak RM5 juta pada 2012 serta RM9.59 juta pada Mac 2014 dengan jumlah penerima manfaat ini melebihi 300 orang Bumiputera setakat ini.
“Orang ramai boleh membuat permohonan di semua cawangan CBP di Pulau Pinang bermula 1 Julai 2024 dan permohonan ini hanya terbuka kepada Bumiputera dan terhad bagi pembiayaan hartanah di Pulau Pinang sahaja,” katanya. -KOSMO! ONLINE