PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi memartabatkan pendidikan tinggi dan pembangunan ummah.
PTPTN dalam kenyataan hari ini berkata, melalui MoA yang dimeterai ini, PTPTN dan YWM komited untuk bekerjasama dalam pelaksanaan wakaf pendidikan.
Ujarnya, kedua-dua pihak bersetuju menjalankan Kerjasama Wakaf Tunai Pendidikan PTPTN-YWM dengan merangkumi beberapa skop dan objektif kerjasama.
“Antaranya adalah menubuhkan dana wakaf sebagai salah satu inisiatif bagi mempelbagaikan sumber dana untuk pembiayaan pendidikan tinggi selain menerusi pemberian pinjaman pendidikan PTPTN sedia ada.
“Selain itu, kerjasama ini juga bagi memastikan dana wakaf sebagai instrumen pengagihan semula kekayaan bagi pembangunan pendidikan negara dalam kalangan mahasiswa melalui alternatif
bantuan pendidikan berbentuk biasiswa iaitu Wakaf Tunai PTPTN.
“Di samping itu, MoA ini juga bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman pendidikan, seterusnya mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman atau keberhutangan oleh mahasiswa,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya berharap agar inisiatif ini mendapat sokongan padu masyarakat.
Ujarnya, dia berharap PTPTN akan menerima sambutan yang menggalakkan daripada syarikat-syarikat korporat, institusi-institusi kewangan, agensi kerajaan dan swasta serta para pelanggan untuk melaksanakan amal kebajikan melalui wakaf pendidikan.
“Saya yakin wakaf pendidikan ini akan dapat meningkatkan motivasi mahasiswa untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekali gus menjana kepada pembangunan modal insan negara.
“Paling penting, usaha ini juga dapat mengurangkan kebergantungan PTPTN kepada kerajaan sebagai sumber dana pembiayaan untuk jangka masa panjang,” katanya.
Sesi menandatangani memorandum ini diadakan bersempena Program Wacana Ilmiah Wakaf Pendidikan 2024 bertempat di sebuah hotel di Damansara, di sini.
MoA ini dimeterai antara Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif YWM Dr. Ridzwan Bakar sambil disaksikan Norliza. – KOSMO! ONLINE