TAIPING – Pusat-pusat pelancongan seperti muzium yang mempamerkan khazanah bersejarah digalakkan melakukan penterjemahan pelbagai bahasa dalam bentuk digital bagi menarik pelancong dari luar negara untuk berkunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perak 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, dengan adanya penterjemahan pelbagai bahasa secara digital itu, ia akan memudahkan pelancong dari luar negara untuk memahami segala informasi berkenaan barang dipamerkan.
“Pada masa ini, segala informasi berkenaan barang yang dipamerkan dipaparkan pada papan pameran mengunakan bahasa kebangsaan dan juga bahasa Inggeris.
“Jadi kita amat galakkan sekiranya tempat mempamerkan barang bersejarah seperti muzium di negeri ini dapat menyediakan kod imbas pada papan maklumatnya bagi membolehkan pelancong dari luar negara menterjemah maklumat kepada bahasa difahami mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Zoologi dan Seni Taksidermi di Muzium Perak di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) Jabatan Muzium Negara, Mohd. Razaimi Hamat.
Menurut Sze Yee, walaupun perisian alat penterjemah telah ada di dalam telefon bimbit orang ramai namun terlalu banyak kesalahan ketika melakukan terjemahan. -KOSMO! ONLINE.