KUALA LUMPUR – Perbuatan kutuk seorang penganggur yang melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan jirannya di kawasan tangga, akhirnya menerima padah apabila dia dipenjara selama empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mohd. Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 22 tahun tersebut selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes.
Mahkamah memerintahkan tertuduh yang belum berkahwin itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 3 Ogos tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal termasuk mencium pipi terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun empat bulan (ketika kejadian) bagi tujuan seksual di kawasan tangga tingkat 11 di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Sungai Besi pukul 3.30 petang pada 25 Jun 2022.
Justeru didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman penjara dan sebat sebagai pengajaran dengan mengambil kira mangsa berusia lapan tahun.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya merayu dikenakan hukuman ringan.
Mengikut fakta kes, seorang wanita berusia 28 tahun yang juga ibu mangsa mendapati anak perempuannya masuk ke dalam rumah dalam keadaan tergesa-gesa dan ketakutan.
Apabila ditanya, mangsa memberitahu seorang lelaki memanggilnya ke arah tangga, kemudian terus mencium pipi dan merabanya.
Mangsa yang terkejut dan takut kemudian terus menolak lelaki itu dan berjaya melarikan diri.
Berikutan kejadian itu, ibu mangsa kemudian telah membuat laporan polis pada hari sama dan lelaki itu ditahan di hadapan sebuah surau pada 3 Ogos tahun lalu. – KOSMO! ONLINE.