fbpx

Nadi30, Nadi10 galak lebih ramai guna perkhidmatan bas, jamin penjimatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha ketika sidang akhbar pada Majlis Aspirasi 2024: Bersama Memacu Wilayah Persekutuan Sejahtera di sini hari ini. FOTO-FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) hari ini melancarkan pas bulanan perjalanan tanpa had Nadi30 dan Nadi10 untuk semua pengguna perkhidmatan bas Nadiputra Putrajaya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pengenalan dua jenis kad itu merupakan salah satu daripada inisiatif untuk mengurangkan karbon daripada kenderaan awam khususnya kenderaan persendirian.

Menurut beliau, ia juga adalah sejajar dengan inisiatif Putrajaya Model Bandar Rendah Karbon 2030.

“Kita hendak menggalakkan warga Putrajaya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam khususnya bas.

“Nadi10 adalah untuk kategori warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Manakala, Nadi30 adalah untuk semua pengguna perkhidmatan NadiPutra supaya mereka boleh menggunakan kad tersebut untuk perjalanan sekitar Putrajaya,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Aspirasi 2024: Bersama Memacu Wilayah Persekutuan Sejahtera di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Zaliha berkata, pas bulanan tersebut turut memberi jaminan penjimatan perbelanjaan tambang secara bulanan, khususnya kepada pengguna tetap perkhidmatan bas Nadiputra, selain memberi peluang kepada orang awam untuk berurusan dan bersiar-siar di sekitar Putrajaya dengan tambang tanpa had.

Sementara itu, Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, maklumat lanjut dan cara-cara permohonan kad tersebut boleh dibuat secara dalam talian melalui portal www.ppj.gov.my, dalam masa terdekat.

Jelasnya, setiap individu hanya boleh memiliki satu kad dan kad yang dimohon kemudiannya akan dihantar ke alamat seperti tertera di borang permohonan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI