fbpx

Kontena bawa arak seludup bernilai RM7.13 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roselan (dua dari kanan) ketika sidang akhbar rampasan minuman keras di Stor Penguatkuasaan Bagan Ajam, Butterworth, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Tujuh kontena mengandungi arak seludup dianggarkan bernilai RM7.13 juta termasuk cukai dirampas dalam tiga operasi berasingan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang di Selangor, baru-baru ini.

Pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang itu menemui pelbagai minuman keras dianggarkan berjumlah 180,926 liter dalam semua kontena berkenaan.

Pengarahnya, Roselan Ramli berkata, rampasan pertama pada 31 Januari lalu itu membabitkan dua buah kontena mengandungi 106,560 tin minuman keras jenis bir yang dianggarkan bernilai RM263,340 dan cukai berjumlah RM1,708,984.20.

“Siasatan awal mendapati kontena terbabit dikendalikan sebuah syarikat perkapalan di Kuala Lumpur dan dagangan ini disyaki berasal dari salah sebuah negara di Asia Timur.

“Maklumat di dalam Bill of Lading, dagangan itu diikrarkan sebagai kepingan aluminium.

“Seorang lelaki berusia 30-an yang juga bertindak sebagai ejen perkapalan telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Bagan Ajam di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Roselan berkata, rampasan kedua yang dijalankan pada hari sama berjaya menemui empat kontena yang mengandungi 202,356 tin bir melibatkan nilai anggaran RM561,541.20 dan cukai berjumlah RM3,451,339.98.

Katanya, berdasarkan maklumat di dalam Bill of Lading, dagangan itu diikrarkan sebagai aloi tembaga bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Rampasan ketiga yang dijalankan pada 7 Februari lalu pula berjaya menahan sebuah kontena mengandungi 52,320 tin bir yang disyaki tidak berkastam melibatkan nilai anggaran RM144,000 dan cukai berjumlah RM1,004,282.40.

“Siasatan awal mendapati kontena tersebut dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang,” ujarnya.

Justeru beliau memberitahu, siasatan bagi ketiga-tiga kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI