fbpx

Buat tuntutan palsu lebih RM29,000 baiki rumah daif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Hafizul ketika dibawa untuk prosiding pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. FOTO: AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Seorang bekas pembantu awam sebuah Jabatan Pengairan dan Saliran daerah Sabak Bernam didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kerja-kerja baik pulih dua buah rumah daif bernilai lebih RM29,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafizul Akmal Hasbullah, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan termasuk pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Awang Krisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan dua pertuduhan utama, bapa kepada tiga orang anak itu telah memperdayakan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dengan mengemukakan invois mengandungi butir matan palsu bernilai RM29,430.

Ini melibatkan kerja-kerja seperti baik pulih rumah daif termasuk pembekalan dan pengecatan bahagian luar rumah, pili air tandas selain pendawaian elektrik termasuk lapan unit lampu kalimantang jenis diod pemancar cahaya (LED) bagi dua buah penerima di Sekinchan dalam Bantuan Baik Pulih Rumah Daif di Bandar Program Pembasmian Kemiskinan Bandar MDSB.

Justeru, kesalahan bagi setiap pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Muhammad Hafizul juga kontraktor didakwa dua pertuduhan pilihan atas kesalahan sama dibawa Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda
atau kedua-duanya, sekiranya disabitkan kesalahan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di MDSB antara Jun hingga 1 Julai 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 serta syarat tambahan adalah menyerahkan pasport serta lapor diri di pejabat SPRM terdekat.

Peguam Muhammad Affendi Mohd. Yusop yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon ikat jamin dikurangkan kepada RM5,000 selepas anak guamnya tidak lagi bekerja dan dinasihatkan berhenti kerja oleh majikannya berhubung pertuduhan dihadapinya.

“Gaji terakhir diterima adalah sebanyak RM 1,200 dengan anak guam saya menanggung tiga anak berusia hingga tujuh tahun,” ujarnya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan RM6,000 bersama seorang penjamin selain tidak membenarkan menganggu saksi dan membenarkan syarat tambahan lain pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Mac depan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI