NEW DELHI – Sebentuk cincin yang bertatah 12,638 berlian diiktiraf sebagai rekod baharu dalam buku Guinness World Records tetapi penciptanya dari India masih belum ada rancangan untuk menjualnya.
Cincin berbentuk bunga itu dinamakan sebagai The Marigold – The Ring of Prosperity dan mempunyai berat kira-kira 165 gram.
“Ia boleh dipakai dan selesa,” kata Harshit Bansal iaitu individu yang merealisasikan penghasilan cincin itu daripada satu projek yang diimpikan sebelum ini.
Harshit berumur 25 tahun berkata, dia memperoleh idea itu kira-kira dua tahun lalu semasa meneruskan pengajian dalam bidang rekaan barang kemas di bandar Surat, India.
“Sasaran saya ialah lebih 10,000 butir berlian. Saya buang banyak rekaan dan konsep sejak beberapa tahun lalu hingga ini yang terhasil,” jelas Harshit.
Beliau turut mendakwa sudah menolak permintaan daripada beberapa individu yang berminat untuk membelinya.
“Kami tiada rancangan untuk menjualnya buat masa ini. Ini soal kebanggaan kami. Tiada harga untuk itu,” katanya.
Sebelum ini, Guinness World Records mengiktiraf sebentuk cincin dengan 7,801 butir berlian dari India sebagai cincin dengan berlian terbanyak. – AFP