JAKARTA – Seorang lelaki ditahan kerana menggigit cuping telinga konduktor bas hingga putus kerana motosikalnya dihalang daripada memotong bas berkenaan, lapor laman berita Tribun News.
Insiden itu dilaporkan berlaku di sebatang jalan di Desa Tambak Kemeraan, Kecamatan Krian, Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia kelmarin.
Ketua Polis Krian, Asisten Komisioner Mukhlason berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas penunggang motosikal terbabit berasa marah selepas gagal memotong bas yang berada di hadapannya.
“Semasa suspek memecut laju, sebuah bas yang berada di hadapannya tidak memberi peluang kepada lelaki itu untuk memotongnya.
“Tiba-tiba datang sebuah bas lain dari arah belakang membunyikan hon dan membuatkan suspek terkejut dan marah,” jelas beliau.
Mukhlason berkata, selepas beberapa minit, suspek berjaya memotong bas berkenaan yang berhenti untuk menurunkan penumpang.
“Suspek turut berhenti dan cuba memukul pemandu bas berkenaan tetapi tidak berjaya.
“Bas itu meneruskan perjalanan dan meninggalkan penunggang motosikal berkenaan,” ujarnya.
Tidak terhenti di situ, Mukhlason berkata, suspek terus mengejar bas itu sehingga berhenti kali kedua di sebuah perhentian.
“Ketika itu, konduktor bas turun lalu menghampiri suspek sebelum penunggang motosikal itu memukulnya menggunakan topi keledar.
“Suspek kemudian terus merangkul mangsa lalu menggigit telinga konduktor bus hingga cupingnya terputus,” ujarnya.
Tambah Mukhlason, akibat kejadian tersebut mangsa yang berumur 36 tahun dikejarkan ke hospital berhampiran oleh orang ramai yang berada di situ.
“Sejurus kejadian, suspek ditahan oleh sekumpulan anggota polis yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian serangan, Dia dibawa ke Balai Polis Krian untuk disoal siasat,” katanya. – Agensi