PETALING JAYA – Semua penggiat seni tanah air bebas berkarya dengan menjunjung tinggi nilai Islam dan kesopanan budaya tempatan, namun diingatkan tidak memperlekehkan agama sendiri.
Demikian kata pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun berikutan kontroversi Filem La Luna yang dikatakan memberi persepi buruk terhadap agama Islam.
Selain itu, Asma’ berkata, beberapa watak dan babak dalam filem tersebut didakwa mempromosi adegan ‘soft porn’ serta merendahkan agamawan.
Asma’ turut mempersoalkan mengapa pakaian dalam wanita menjadi mesej utama sedangkan ia bertentangan dengan adab orang Melayu.
“Jarum liberalisme yang sangat halus telah membentuk pemikiran kita menjadi tidak sensitif dan mencipta ayat ‘apa salahnya? Tak kan tak faham, inikan seni’.
“Akhirnya normalisasi pemikiran liberal ini pun meresap sedikit demi sedikit ke dalam kehidupan seharian tanpa kita sedari,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Justeru, katanya, sekiranya benar ada ‘seni’ ingin disampaikan pastikan ia digambarkan dalam bentuk positif dan penuh adab, bukan menzahirkan sisi yang boleh mengundang prasangka buruk dan fahaman mengelirukan.
“Peranan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) wajib diperkukuhkan bagi memastikan penghasilan filem atau drama mengikut garis panduan ditetapkan.
“Kami sentiasa menyokong dan menghormati setiap perjuangan individu atau organisasi selaku pakar dalam bidang perfileman demi memastikan industri filem tidak tercemar dengan unsur-unsur penghinaan dan memberi persepsi buruk terhadap agama Islam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE