fbpx

Sasar RM14 juta kutipan fidyah di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Aziz (tengah) ketika pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah MAIS di Shah Alam, hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyasarkan kutipan fidyah sebanyak RM14 juta tahun ini.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, sasaran itu susulan kejayaan mengutip sebanyak RM12.5 juta berbanding ditetapkan iaitu RM11.5 juta pada tahun lalu.

Katanya, pihaknya telah menyediakan kalkulator fidyah puasa dalam memudahkan masyarakat Islam untuk melaksanakan kiraan fidyah.

“Seperti sedia maklum, fidyah merupakan sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.

“Hukum membayar fidyah ini adalah wajib. Oleh itu, saya menyeru kepada semua masyarakat Islam di Selangor ini, untuk menyegerakan bayaran fidyah melalui MAIS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah MAIS dan majlis penghargaan rakan strategik serta rakan media, hari ini.

Abdul Aziz berharap, masyarakat memberikan kepercayaan dengan menunaikan fidyah kepada MAIS atau ejen yang telah dilantik agensi itu seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS), Malaysia E-Government (MYEG); Bank Muamalat Malaysia Berhad; As-Salihin Trustee Berhad dan Rakyat Trustee Berhad.

Mengulas mengenai kempen itu, beliau menjelaskan sebagai satu usaha dalam menyampaikan informasi terkini berkaitan fidyah khususnya di Selangor selain mencapai sasaran telah dipersetujui itu.

Kempen itu akan berlangsung bermula 13 Februari sehingga 11 Mac depan.

“Antara aktiviti yang dijalankan Live Tiktok MAIS, OPS Tunai Fidyah di lapangan, pembukaan Kaunter Runding Cara Baitulmal di daerah-daerah dan aktiviti agihan fidyah di lokasi terpilih.

“Saya juga berharap menerusi kempen ini semua masyarakat Islam mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menunaikan kewajipan puasa dan membayar fidyah. Jangan mengambil mudah perkara berkaitan hukum hakam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI