KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 20 Mac ini untuk bagi status representasi yang difailkan Inspektor Sheila bagi membatalkan pertuduhan pertuduhan mendatangkan kegusaran awam di sebuah pusat beli belah tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan peguam M.Manoharan yang mewakili Inspektor Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 36, selepas prosiding kes di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Menurut peguam itu, representasi yang difailkan terhadap Jabatan Peguam Negara (AGC) atas alasan pertuduhan tersebut remeh.
“Hari ini mahkamah menetapkan sebutan kes seterusnya pada 20 Mac untuk mengetahui keputusan representasi (oleh AGC). Pihak pendakwaan memaklumkan perlu masa tiga minggu untuk mengkaji representasi yang difailkan kali pertama setebal kira-kira 20 muka surat.
“Selain alasan remeh, representasi itu kerana anak guam sebenarnya adalah mangsa dalam kes yang tular berkenaan,” katanya.
Pada 8 November tahun lalu, Inspektor Sheila selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan mudarat awam dengan memarahi, membunyikan hon kereta dengan panjang atau lama serta menjerit di tempat kejadian sehingga mendatangkan kegusaran am terhadap seorang wanita berusia 29 tahun (ketika kejadian).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta Aras B1, sebuah pusat beli belah di Brickfields di sini pukul 5.26 petang pada 16 Jun tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 290 kanun sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM400, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE