KUALA LUMPUR – Kemajuan dan pembangunan politik yang diilhamkan Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud di Sarawak adalah sangat penting untuk rakyat negeri itu.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu merupakan satu kehilangan yang besar buat negera.
“Isteri saya orang Sarawak. Jadi saya balik Sarawak dari tahun 1987 sampai sekarang. Saya melihat kemajuan negeri Sarawak itu berada di hadapan mata.
“Sarawak itu lebih kurang sama luas dengan Semenanjung. Jadi boleh bayangkan bagaimana usaha beliau membangunkan Sarawak ketika menjadi ketua menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Pengurusan Fasiliti (MAFM) 2024 di Hotel dan Residensi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
Pada masa sama, Ahmad turut mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham serta mendoakan agar rohnya dirahmati Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Terdahulu, Abdul Taib dilaporkan meninggal dunia sekitar pukul 4.40 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Masjid Negara bagi tujuan pengurusan kematian sebelum dibawa ke Kuching, Sarawak untuk disemadikan. – KOSMO! ONLINE