KUALA LUMPUR – Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud selesai disembahyangkan di Masjid Negara pada pukul 10.25 pagi, hari ini.
Jenazah Allahyarham diiringi isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib bersama anak-anaknya dan disembahyangkan oleh lebih 200 orang jemaah di kalangan sahabat dan ahli keluarga.
Allahyarham dijinjing daripada van untuk dimandikan dan dikafankan oleh anaknya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Panglima Angkatan Tentera, Mohamad Abdul Rahman dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Abdul Taib meninggal dunia sekitar pukul 4.40 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Perkara tersebut disahkan menerusi akaun Facebook Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib yang juga merupakan anak bongsu Allahyarham.
Jenazah tiba di Masjid Negara pada jam 9.11 pagi diiringi petugas Polis Diraja Malaysia dan kenderaan Timbalan Perdana Menteri.
Allahyarham dibawa ke Masjid Negara bagi tujuan pengurusan kematian sebelum dibawa ke Kuching untuk disemadikan. – KOSMO! ONLINE