LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui bahawa beliau sudah tidak sabar untuk menyaksikan para pemainnya turun beraksi pada saingan derbi utara London menentang Tottenham Hotspur awal pagi esok.
Menurutnya, biarpun prestasi Arsenal masih belum berada pada tahap terbaik ketika ini, pengurus dari Sepanyol itu mengakui bahawa aksi berkenaan adalah peluang untuk pasukannya kembali ke landasan sebenar.
“Ini adalah sebab mengapa kami berada di sini. Jika anda bertanya kepada saya mengenai perlawanan paling saya gemari ketika menjadi pemain, sudah tentu saya akan menjawab bahawa derbi utara London.
“Ia melibatkan satu suasana yang unik, penuh dengan perasaan dan kemahuan yang tinggi pada aksi ini. Secara emosinya, ia adalah perlawanan yang istimewa.
“Apabila anda memenanginya, anda dapat rasakan kepuasan yang dapat diberikan kepada peminat terutama ketika ini di mana ramai orang berdepan situasi sukar.
“Kami memiliki kemampuan untuk memberikan kegembiraan kepada peminat dan kami akan cuba melakukannya dengan memberikan segala-gala yang kami miliki,” katanya.
Pertembungan ini juga cukup istimewa buat Arteta apabila beliau bakal bertembung dengan bekas jurulatihnya ketika Jose Mourinho membimbing Barcelona B pada 1999.
“Saya sangat mengenalinya. Kami menghabiskan masa bersama-sama ketika di Barcelona. Saya sangat mengidolakannya kerana saya fikir apa yang telah dilakukannya adalah sangat menakjubkan.
“Jose memiliki karakter yang unik dan personaliti. Saya rasa beliau adalah individu di dalam bola sepak yang perlu dihormati dan dihargai.
“Beliau seorang yang berani dan mempunyai kemampuan untuk memberikan kekuatan mental dan membentuk mentaliti kemenangan dalam kalangan pemain,” katanya. – AGENSI