PARIS – Legenda Brazil, Rivaldo menyifatkan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar seakan-akan mengetahui bahawa pasukannya sedang berbincang dengan kapten Barcelona, Lionel Messi berhubung urusan perpindahan antara kedua-dua pihak.
Rivaldo yang pernah beraksi dengan Barcelona dari 1997 hingga 2002, merasakan impian rakan senegaranya itu untuk kembali bergandingan dengan Messi mungkin mampu menjadi kenyataan.
“Neymar ada beritahu dia teringin untuk berganding semula dengan Messi musim depan. Mereka adalah kawan baik sejak bersama-sama di Barcelona dahulu. Kontrak Messi akan berakhir dengan Barcelona tahun depan.
“Saya percaya Neymar sedang memujuk PSG menandatangani khidmat Messi kerana beliau boleh berbincang dengan mana-mana pasukan lain bermula bulan depan. Saya tidak menolak kemungkinan mungkin Messi akan ke Perancis.
“Ini kerana Messi sedang mencari cabaran baharu dalam kariernya. Jadi saya tidak percaya kalau Neymar sengaja bercakap mengenai perkara itu, mungkin dia sudah tahu PSG sedang berunding dengan Messi,” kata Rivaldo.
Sebagai rekod, Neymar pernah bergandingan dengan Messi di Barcelona dari 2013 hingga 2017 dan telah memenangi pelbagai gelaran antaranya Liga Juara-Juara, La Liga, Piala Raja Sepanyol, Piala Super Sepanyol dan Piala Kelab Dunia.
Jika spekulasi itu menjadi kenyataan, kemungkinan besar juga seorang lagi penyerang prolifik PSG, Kylian Mbappe akan kekal di Parc des Princes untuk membentuk trio serangan digeruni antara dirinya, Messi dan Neymar. – AGENSI