MELAKA – Pemimpin masa kini diingatkan untuk mencontohi tokoh-tokoh kemerdekaan yang tidak terlibat dengan salah laku dan amalan negatif yang boleh merosakkan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, generasi sekarang perlu menghargai nikmat dan jasa yang dicurahkan pemimpin terdahulu.
Beliau berkata, mereka sanggup menggadai nyawa, harta benda untuk mencari kemerdekaan kepada Tanah Melayu.
“Kita adalah generasi yang kenang jasa. Kita tahu kita tidak akan ada di sini mengecapi nikmat kalau tidak kerana jasa tokoh-tokoh besar kita dahulu.
“Ini juga adalah peringatan kepada pemimpin-pemimpin yang memikul amanah sekarang supaya belajar daripada elemen dan ciri positif yang baik daripada mereka dan tidak terheret dengan amalan kerakusan, keangkuhan, kegelojohan (seperti) pegawai-pegawai penjajah,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Pengisyhtiharaan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68 di Banda Hilir di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, perlembagaan negara yang digubal pemimpin terdahulu tidak pernah merendahkan sumbangan kaum lain.
Menurutnya, ini kerana kaum lain turut diiktiraf sebagai warganegara yang sah di Tanah Melayu dan bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan.
“Rakyat harus tahu merdeka itu dengan kekuatan orang-orang Melayu, itu benar. Tapi mereka juga bekerjasama dengan rakan-rakan kita (dari) masyarakat Cina dan India yang bersatu padu menebus maruah yang dikuasai dan dihina oleh penguasa asing.
“Terasnya masih Melayu, tapi tidak pernah disebut maksud untuk meremehkan hak dan darjat atau menghina mereka. Ini pengajaran yang penting bagi negara kita,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE