NAPLES, Itali – Majlis Bandar Naples mengesahkan ‘rumah’ Napoli, Stadium San Paolo secara rasminya ditukar nama kepada Stadium Diego Armando Maradona sebagai penghargaan kepada legenda Argentina itu.
Maradona yang meninggal dunia pada usia 60 tahun minggu lalu disebabkan serangan jantung pernah menghadiahkan tiga kejayaan bersejarah buat Napoli iaitu dua gelaran Serie A pada 1986/1987 dan 1989/1990 serta satu Piala UEFA 1988/1989.
Presiden Napoli, Aurelio de Laurentiis terharu kerana cadangannya sebelum ini diterima Majlis Bandar Naples dan Datuk Bandar Naples, Luigi de Magistris untuk menghargai jasa dan sumbangan Maradona sepanjang tujuh musim bersama Napoli dari 1984 hingga 1991.
“Sebenarnya sudah 17 tahun saya berbincang perkara ini dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengubah nama stadium ini kepada ‘Diego Armando Maradona’
“Jika mahu mengekalkan tradisi, saya tiada masalah jika stadium ini digabungkan nama ‘San Paolo’ dan ‘Maradona’. Kalau tidak, bina stadium baharu dengan nama Maradona.
“Tahun demi tahun Maradona telah membanggakan penduduk Naples. Saya gembira kerana akhirnya impian saya dan Napoli untuk menghargai jasa serta sumbangan Maradona telah tercapai,” katanya.
Sebagai rekod, kehadiran Maradona daripada Boca Juniors pada 1984 berjaya menyaksikan nama Napoli mula dikenali selepas berjaya memecah dominasi tiga gergasi Serie A ketika itu, Juventus, AC Milan dan Inter Milan. – AGENSI