KOTA BHARU – Kesempitan hidup tidak menghalang seorang ibu tunggal dari Kampung Sungai Budor di sini untuk menjaga dua anaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) selepas kematian suami sejak lima tahun lalu.
Shamsiah Mohamed, 61, berkata, dua daripada lapan anaknya yang perlu dijaga sebaiknya ialah Ahmad Faiz Mohd. Yusof, 35, yang dikategorikan sebagai OKU fizikal dan Ahmad Hafizi, 33, yang lembam sejak berusia 3 tahun.
Dia bagaimanapun bersyukur apabila anak bongsunya turut membantu menguruskan dua abangnya terutama Ahmad Faiz yang perlu dimandikan, ditukar lampin dan disuap ketika makan.
“Ahmad Hafizi pula sudah boleh menguruskan diri sendiri, tetapi perlu dipantau kerana dia tidak boleh berfikir seperti orang dewasa.
“Sejak suami meninggal dunia akibat sakit, saya mengambil tanggungjawab menguruskan dua anak OKU ini. Anak-anak yang lain turut membantu sekiranya saya memerlukan.
“Ahmad Faiz yang merupakan anak kedua pada asalnya membesar seperti kanak-kanak normal. Ketika usianya setahun setengah, dia terjatuh sehingga mengalami kecederaan pada kepala,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Shamsiah memberitahu, keadaan itu menyebabkan Ahmad Faiz perlu menjalani pembedahan apabila dia hilang keseimbangan diri untuk berjalan sehingga terlantar dan perlu bergantung sepenuhnya kepada orang lain.
Menurutnya, Ahmad Faiz juga kerap diserang sawan sehingga menyebabkan dia tidak boleh tinggal sendirian.
“Bagi meneruskan kelangsungan hidup, saya menjual barangan runcit di Pasar Gok Kapur, di sini bermula pukul 3 petang hingga 7 malam setiap hari.
“Pendapatan yang diperoleh tidak menentu iaitu antara RM30 hingga RM50 sehari bergantung kepada pelanggan. Saya tidak mahu menyusahkan anak-anak yang lain kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab dan sudah berkeluarga,” ujarnya.
Menurut Shamsiah, Ahmad Faiz menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500, manakala Ahmad Hafizi pula memperoleh RM300.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan kepada akaun Agrobank atas nama Shamsiah Mohamed, 2006591001446214.