LANGKAWI – Sebuah kapal layar yang berlabuh di perairan ini terbakar hampir 50 peratus dalam kejadian di Jeti Pelancongan Pekan Rabu, di sini hari ini.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 1.19 tengah hari tadi.
“Anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra diarahkan ke lokasi dan mendapati kejadian berlaku kira-kira 200 meter dari pesisiran pantai.
“Kebakaran melibatkan sebuah kapal layar berukuran 12 meter panjang dan tiga meter lebar serta tidak melibatkan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, tindakan pemadaman dilakukan dengan menggunakan satu aliran satu pancutan dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 1.37 tengah hari tadi.
“Anggaran awal kemusnahan adalah hampir 50 peratus di dalam bahagian kapal,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE